Wednesday, December 10, 2014

RUMUSAN

     Secara keseluruhan kami dapat rumuskan bahawa nilai-nilai murni dan budi bahasa amatlah penting dan haruslah dipupuk dalam diri setiap individu. Generasi baru kini sesungguhnya ketandusan nilai-nilai murni serta sifat berbudi bahasa. Melalui projek ini, kami yakin serba sedikit dapat menyedarkan masyarakat kampus sekeliling kami mengenai kepentingan berbudi bahasa sejajar dengan tajuk projek kami, "Budi Bahasa Cermin Keperibadian Bangsa".
     
     Setiap individu haruslah melengkapkan diri masing-masing dengan budi pekerti serta nilai-nilai murni yang baik agar bangsa kita dapat menjadi contoh dan tauladan kepada bangsa-bangsa lain. Setiap individu adalah aset sesebuah negara, dengan budi pekerti dan perwatakan yang baik ianya dapat menjamin masa depan negara. Masyarakat yang baik dan berbudi bahasa adalah gambaran dan imej negara pada masa akan datang.

     
     Kesimpulannya, usaha ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama dari setiap golongan bermula generasi muda sehinggalah generasi tua. Isu berbudi bahasa ini tidak boleh dipandang enteng dan mudah, tetapi ini merupakan agenda terpenting dalam negara sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Malaysia. 

REFLEKSI

Perlaksanaan projek ini merupakan salah satu refleksi kepada kumpulan kami di mana kami sendiri telah mendapat beberapa kesedaran. Antara nilai kesedaran yang kami perolehi ialah:-

1.  Kesedaran tentang kemurnian dalam mengamalkan nilai nilai murni dan budi bahasa dalam kehidupan.

    Projek yang dijalankan telah mengajar kami tentang erti sebenar nilai murni yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Dapatan daripada kajian yang dijalankan, kami sendiri dapat menyimpulkan bahawa nilai murni amat penting dalam memastikan kelansungan kehidupan bermasyarakat. Nilai murni seperti senyum, memberi salam , hormat menghormati antara satu sama lain perlulah diterapkan dalam diri setiap manusia kerana ia bukan sahaja dapat melahirkan insan yang berakhlak malahan juga dapat membentuk mereka menjadi insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Penerapan nilai murni juga dapat membentuk masyarakat yang berpegang teguh kepada ajaran agama.

2.  Kesedaran tentang kepentingan kerjasama antara satu sama lain dalam memastikan kelancaran perlaksanaan projek yang dirancang.


    Dalam pelaksanaan sesebuah projek, nilai kerjasama amat penting. Alhamdullilah, hasil daripada kerjasama antara semua ahli kumpulan, projek yang kami rancang iaitu khidmat kepada umat Rasullullah s.a.w telah dapat dilaksanakan dengan jayanya. Pelbagai cabaran dan halangan seperti perbezaan pendapat, pandangan antara ahli kumpulan telah dapat kami atasi dengan adanya nilai kerjasama dan semangat kepasukanan.

HASIL KAJIAN

     Melalui projek yang dijalankan, kami dapati bahawa masyarakat kampus kurang mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Suasana kurang budi bahasa ini kelihatan di mana-mana sahaja tidak kira samada di sekolah mahupun di universiti. Apa yang paling menyedihkan, walaupun mereka belajar di menara gading, namun sikap yang dipamerkan tidak mencerminkan keperibadian mereka sebagai seorang yang berilmu. Hasil daripada temuramah yang dijalankan, dapat kami ringkaskan bahawa cara dan tahap penghayatan masyarakat kampus Puncak Alam dan warga MSU mengenai amalan budi bahasa adalah sama. 


       Pelajar, misalnya, kurang mengamalkan nilai-nilai murni dalam berinteraksi sesama masyarakat kampus terutamanya terhadap rakan-rakan, pensyarah dan staf. Apabila mereka bersama rakan-rakan, mereka menggunakan bahasa yang kurang sopan ketika berbicara antara satu sama lain. Penggunaan bahasa kurang sopan sudah sangat berleluasa. Bercakap kotor dan mencarut seperti sudah tidak ada malunya lagi. Bahasa bersulam, berlapik dan bersopan sudah dianggap ketinggalan zaman. Berkomunikasi pada era ini sudah tidak perlu berpandangan muka, cukup sekadar bercakap melalui telefon, menulis pesanan ringkas, emel dan media sosial. Bahasa yang digunakan pun sangat ringkas, seringkas kehidupan masa kini yang membolehkan masa dan ruang kata dijimatkan. Selain itu, mereka juga kurang menghormati pensyarah-pensyarah dan staf-staf sokongan. Ucapan salam, terima kasih, selamat pagi, boleh saya bantu encik, makcik dan puan, semakin jarang kita dengar dipraktikkan oleh masyarakat kampus hari ini. 

      Staf pula kurang mesra dalam menjalankan tugas masing-masing. Hal ini menunjukkan bahawa budi bahasa, adat dan budaya semakin dipinggirkan dalam sebuah zaman serba pantas dan berteknologi tinggi. Berbudi bahasa mungkin dianggap kuno kerana komunikasi cara moden lebih bersifat tepat dan ringkas tanpa ada tapisan atau berlapik. Justeru dalam keadaan itu, budi bahasa sudah tidak lagi menjadi keutamaan dalam masyarakat kita.Tanpa sikap budi bahasa yang tinggi dan pegangan nilai yang kukuh, kemajuan yang dicapai tidak memberi apa-apa makna.





Tuesday, December 9, 2014

LANGKAH MEMUPUK BUDI BAHASA DALAM KALANGAN MASYARAKAT KAMPUS

          Kebelakangan ini, pelbagai berita dan kes timbul yang kebanyakannya mengenai anak yang derhaka kepada ibu bapa, pelajar yang tidak menghormati guru dan lain-lain kes yang tidak bermoral. Hal ini terjadi kerana hilangnya sikap prihatin terhadap amalan budi bahasa dalam diri sendiri. Sebelum nasi menjadi bubur, amalan budi bahasa haruslah dipupuk dalam kalangan masyarakat supaya masyarakat dapat hidup dengan aman dan harmoni. Pelbagai usaha dapat dilakukan bagi memupuk amalan budi bahasa dalam kalangan masyarakat kampus.

          Langkah perdana yang boleh diambil untuk memupuk budi bahasa adalah melalui bantuan pihak pengurusan kampus. Pihak pengurusan kampus perlu mengadakan kempen-kempen kesedaran kepada masyarakat kampus dan kempen ini haruslah dilakukan secara berterusan dan janganlah sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’kerana akan menyebabkan kerugian kepada negara kita sendiri.Jika inisiatif untuk memupuk budi bahasa dalam diri masyarakat tidak dilakukan oleh pihak pengurusan maka masyarakat kampus pada hari ini akan terus hanyut dalam dunia modenisasi ini dan akan membawa kemusnahan pada masa akan datang. Oleh itu, pihak pengurusan haruslah mengadakan kempen ini secara berterusan supaya masyarakat kampus akan terus dibasahi dengan nilai-nilai murni yang akan mengeratkan hubungan antara masyarakat di negara ini.

          Langkah seterusnya yang dapat kita lakukan untuk mengatasi keruntuhan nilai budi bahasa dalam kalangan masyarakat kampus adalah dengan bantuan para tenaga pengajar. Para tenaga pengajar boleh memupuk para pelajar  dengan sentiasa mengingatkan para pelajar kepentingan berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat kampus. Kebanyakan masa para pelajar diisi dengan menghadiri kelas maka para tenaga memainkan peranan penting dalam memupuk nilai budi  bahasa dalam kalang masyarakat kampus. 

          Seterusnya, usaha yang boleh dilakukan untuk membanteras masalah ini ialah melalui media massa kampus. Pada zaman yang menuju puncak ini,semua informasi-informasi yang berlaku di dunia ini mudah didapati kerana kemudahan seperti internet,televisyen dan banyak lagi memberi kita peluang untuk menerokai hal-hal yang berlaku pada masa sekarang.Oleh hal demikian,sudah tentulah usaha untuk memupuk nilai murni ini boleh dilakukan melalui media massa.Untuk merealisasikan impian ini, pihak media massa kampus haruslah bekerjasama dalam menjayakan program ini dan sentiasa berjuang untuk keharmonian masyarakat kampus. Kempen memupuk nilai budi bahasa haruslah dimainkan di media massa seperti radio kampus, MyUfm. JIka pihak media massa tidak bekerjasama dalam mengatasi masalah ini maka amat sukar untuk mewar-warkan masalah yang sedang dihadapi ini kepada masyarakat kampus.

          Ahli Jawatankuasa kampus juga harus memainkan peranan dalam mengadakan program kemasyarakatan di kampus masing-masing seperti gotong-royong membersihkan kampus, menolong keluarga miskin dan sebagainya. Program seperti ini dapat mengajar masyarakat kampus tentang kepentingan semangat bekerjasama atau nilai moral seperti budi bahasa yang terpuji bagi mewujudkan sebuah masyarakat kampus yang harmoni.Program seperti ini juga memberi peluang kepada pelajar untuk meluangkan masa bersama kerana masyarakat kampus pada zaman ini yang hanya mengejar kepentingan duniawi sahaja dan sikap seperti ‘katak dibawah tempurung’ yang tidak bergaul dengan orang lain. Oleh itu,program seperti ini banyak memberi manfaat kepada masyarakat kampus dan seharusnya dilakukan di semua kampus UiTM.

          Kesimpulannya, kita haruslah bersatu padu dalam memerangi masalah keruntuhan moral dalam kalangan masyarakat kampus dan semua pihak mestilah memainkan peranan yang penting dalam memupuk nilai budi bahasa dalam kalangan masyarakat kampus, bak kata pepatah’Bersatu kita teguh,bercerai kita roboh’.Kita haruslah memupuk nilai budi bahasa di dalam diri kita kerana tidak rugi seseorang itu yang mempunyai nilai budi bahasa kerana ‘hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang juga’.

CABARAN DALAM MENYEMAI NILAI BUDI BAHASA DALAM KALANGAN MASYARAKAT KAMPUS

            Dalam era globalisasi ini,arus pemodenan semakin pantas menerobos ke dalam setiap individu terutama generasi-generasi baru yang terdiri daripada golongan remaja dan kanak-kanak. Dalam fasa ini, pembentukan personaliti yang baik serta penerapan sifat-sifat mulia dan berbudi bahasa amatlah penting dan perlu dititik beratkan oleh semua pihak. Ini adalah kerana, generasi inilah yang bakal memegang tampuk kepimpinan negara pada masa akan datang. Jika lemah pada akar, lemahlah pada pucuknya. Begitulah yang dapat kami simpul daripada pemerhatian dan dapatan yang telah diperolehi melalui Projek Khidmat Rasulullah ini. Setiap apa yang dilakukan pasti ada cabarannya, begitu juga dengan projek ini, kami akan terangkan secara ringkas cabaran-cabaran yang telah kami alami dalam melaksanakan projek ini.
            Antara cabaran utama dalam melaksana projek adalah perbezaan latarbelakang masyarakat kampus itu sendiri memberi kami cabaran dalam mencari cara terbaik untuk mendekati mereka. Kampus Puncak Alam tidak sahaja dihuni oleh Kaum Melayu, terdapat juga kaum Cina, India dan Bumiputera. Masing-masing mempunyai budaya, bahasa, dan personaliti yang berbeza antara satu sama lain. Kepelbagaian ini menjadi cabaran utama kepada kami.

            Cabaran seterusnya adalah kurangnya penghayatan dan kerjasama daripada masyarakat kampus. Kami tidak mengatakan semua tapi ada segelintir sahaja yang kurang memberi kerjasama apabila kami melakukan soal-selidik. Kurang penghayatan terhadap kempen yang dilaksanakan akan membawa kepada kesukaran dalam mengukur keberkesanan projek ini kepada masyarakat yang terlibat. Walaupun sukar dalam mendapat hasil kajian yang tepat, kami bersyukur kerana diberi peluang dalam memberi kesedaran kepada masyarakat kampus mengenai apa yang berlaku di sekeliling mereka. 

Monday, December 8, 2014

Kaedah yang dilaksanakan

    1) Menjalankan kempen “Budi Bahasa”.

  •   Kempen “Senyum Sokmo”
  •   Kempen “Memberi Salam”
Kempen yang kami jalankan adalah dengan memberi ceramah dari kelas ke kelas. Antara isi yang disampaikan dalam ceramah tersebut adalah menggalakkan masyarakat kampus berkomunikasi seiring dengan pengamalan budi bahasa. Melalui kempen ini, serba sedikit usaha yang kami jalankan ini diharap dapat menyemai nilai-nilai murni di dalam diri kita semua.






2) Mengedarkan risalah
 
Selain mengadakan kempen budi bahasa dari kelas ke kelas, kami juga mengedarkan risalah mengenai kempen budi bahasa kepada masyarakat kampus. Tujuan kami mengedarkan risalah-risalah ini adalah untuk mengingatkan masyarakat kampus supaya sentiasa mengamalkan nilai budi bahasa dalam kalangan masyarakat kampus. 



3)   Menjalankan temuramah dengan masyarakat kampus



Bagi mengkaji sejauh mana masyarakat kampus mengamalkan nilai budi bahasa, kumpulan kami telah mengadakan temuramah bersama masyarakat kampus supaya kami dapat mengenal pasti dimanakah kelompongan atau masalah masyarakat kampus dalam mengamalkan nilai budi bahasa. Disertakan dibawah merupakan video sesi temuramah yang telah dijalankan di dua lokasi iaitu di kampus Puncak Alam dan Management & Science University (MSU). Tujuan kami melakukan temuramah di dua lokasi adalah bagi membandingkan cara pemahaman masyarakat kampus mengenai isu ini.






Fokus Utama Projek : Kurangnya amalan budi bahasa dalam masyarakat kampus UiTM Puncak Alam

        Hasil dari pemerhatian yang dilaksanakan, kami dapati bahawa terdapat kekurangan penghayatan budi bahasa yang tinggi dalam kalangan masyarakat kampus Puncak Alam. Sebagai contoh, , mahasiswa lebih cenderung bercakap menggunakan bahasa dan tutur kata yang agak kasar dan kurang sopan apabila berkomunikasi. Kata-kata kasar seperti bodoh, siot, gila, kurang ajar dan kepala otak semakin dipraktikkan dalam pertuturan mereka. Penggunaan kata-kata ini tidak menggambarkan identiti mereka sebagai seorang mahasiswa yang baik.

               Selain itu, amalan senyum antara satu sama lain juga kurang diamalkan. Kebanyakan pelajar hanya memberi perhatian atau fokus terhadap gajet-gajet mereka sehinggakan mereka lupa untuk memberi salam, bertegur sapa dengan masyarakat di sekeliling mereka. Sikap endah tak endah juga timbul menunjukkan betapa lemahnya penghayatan mereka terhadap amalan budi bahasa dan nilai-nilai murni. Keadaan ini amat menyedihkan kerana walaupun mereka belajar di menara gading, sikap dan perlakuan serta tutur kata mereka tidak seiring dengan ilmu yang dipelajari.

BUDI BAHASA BUDAYA KITA!

Definisi : Budi bahasa merujuk kepada kelakuan baik, perwatakan yang positif pertuturan kata yang berhemah dan perbuatan kebajikan terhadap masyarakat atau orang lain.

                
         Seperti yang sudah kita ketahui, masyarakat Malaysia khususnya kaum Melayu sangat terkenal dengan adat dan budi bahasa yang tinggi. Namun dengan peredaran zaman dan peningkatan teknologi secara tidak langsung turut memberi kesan negatif terhadap penghayatan budi bahasa yang diamalkan dalam kehidupan seharian. Sebagai contoh yang dapat dilihat sejak akhir-akhir ini ialah terdapat sesetengah masyarakat yang seakan lupa dengan nilai-nilai murni dan budi bahasa. Mereka kini lebih cenderung bersikap kasar dan meninggikan suara ketika berkomunikasi. Ucapan salam dan terima kasih juga semakin jarang didengari. 
        
       Lunturnya, amalan budi bahasa juga dapat dilihat dalam kalangan masyarakat kampus. Nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian semakin kurang diamalkan dikalangan mereka. Hal ini menyebabkan kurangnya perasaan hormat-menghormati, tidak bertolak ansur dan boleh menjejaskan imej mereka. Oleh yang demikian, semua masyarakat kampus hendaklah mengamalkan nilai-nilai murni supaya perkara-perkara tersebut dapat dielakkan.

Pengenalan

Setelah mendapat inspirasi daripada pensyarah kami iaitu Ustazah Mahfuzah Mohd Zabidi, kami meneruskan perbincangan di peringkat kumpulan. Walaupun projek yang bakal dijalankan ini bakal dilaksanakan di peringkat kampus, ianya tidak boleh dipandang enteng. Sumbangan yang bakal disumbangkan itu amat penting dan kita sebagai pelaksana juga akan mendapat manfaat daripada perkara tersebut.
Kami mengambil langkah melalui pemerhatian dalam mengenalpasti masalah yang sering berlaku di kawasan kampus. Pemerhatian dibuat di kawasan blok fakulti, kafeteria dan pusat kegiatan pelajar. Dari pemerhatian kami, kawasan kami tidak hanya mempunyai kaum melayu, kaum-kaum lain seperti cina dan india juga menjadi komuniti di sini. Rata-rata mereka adalah staf universiti seperti pensyarah, pelajar pertukaran dan pekerja-pekerja yang terlibat dalam aktiviti pembersihan. Perbezaan kaum ini telah membawa kepada jurang komunikasi dan pergaulan dalam masyarakat kampus.
Oleh itu, kami mengambil memandang serius masalah ini dan memilih untuk menjadikam masalah ini sebagai pelan projek baru kami iaitu Budi Bahasa Cermin Keperibadian Bangsa. Masalah kurangnya budi bahasa dalam masyarakat kampus ini akan menjadi lebih parah jika tidak dicari jalan penyelesainnya. Melalui Program Khidmat Rasulullah ini, kami berasa bersyukur kerana kami diberi ilham untuk membantu masyarakat kampus mengenai masalah ini. Draf kasar pelan projek ini telah dihantar dan mendapat persetujuan daripada pensyarah. Draf ini juga dilampirkan dalam blog.


Penghargaan

Assalamualaikum w.b.t

         Bersyukur kehadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnianya dapat juga kami menyempurnakan tugasan bagi subjek CTU553 ini. Sepanjang menjalankan kerja kursus ini, kami telah memperoleh pelbagai pengalaman sama ada pahit mahupun manis yang amat berharga dan bermakna dalam hidup kami sebagai pelajar. Pengalaman yang diperoleh ini mungkin hanya akan dating sekali dalam hidup kami.
     Dalam usaha menyalurkan khidmat kepada umat Rasulullah s.a.w., pelbagai maklumat, pengetahuan dan cabaran yang telah kami tempuhi. Dalam kesempatan ini, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sepanjang tugasan ini dijalankan. Ucapan ini dituju khas buat pensyarah kami, Puan Mahfuzah bt Mohammed Zabidi yang banyak member tunjuk ajar dan bimbingan kepada kami dalam memastikan tugasan yang dilaksanakan menepati objektif yang ingin dicapai. Tidak dilupakan juga, rakan-rakan seperjuangan kami yang telah banyak bertungkus lumus dan memberi kerjasama yang amat baik dalam menyempurnakan tugasan ini. Ucapan terima aksih juga ditujukan kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak dalam menyempurnakan tugasan ini. Segala bantuan, sokongan dan kerjasama yang dihulurkan amatlah kami hargai.

Sekian, terima kasih.


Draf Projek

FORMAL DRAF - PROJEK CTU 553

LOKASI
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam

MASALAH
  • Kurang tatasusila dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat kampus
  • Individu saling tidak menghormati dan menghiraukan perasaan masyarakat sekeliling.


OBJEKTIF PROJEK
  • Mengenalpasti masalah budi bahasa yang berlaku dalam kalangan masyarakat.
  • Mengkaji sama ada masyarakat kampus mengamalkan nilai-nilai budi bahasa yang betul dalam kehidupan.
  • Menerapkan nilai-nilai murni adab sopan dalam berbudi bahasa yang diamalkan oleh Rasulullah dalam pergaulan dan komunikasi.
  • Memantapkan amalan berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat kampus.

AKTIVITI YANG BAKAL DIJALANKAN
  • Mewujudkan Kempen Budi Bahasa dalm UiTM Kampus Puncak Alam.
  • Mengedarkan risalah mengenai kempen di atas ke kawasan-kawasan tertentu di dalam kampus.
  • Mengadakan sesi temuramah dalam kalangan staff, dan pelajar kampus dari pelbagai peringkat dan bangsa.





Pelan Awal Projek dan Cabaran

Alhamdulillah kami pelajar subjek CTU553 telah diberi peluang untuk melaksanakan satu projek dalam memberi sumbangan kepada masyarakat, projek ini adalah bertujuan bagi menyabung usaha-usaha Rasulullah s.a.w dalam memelihara dan memastikan kelangsungan akhlak dan nilai-nilai yang baik dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
Pada awalnya, setelah perbincangan awal dilakukan kami bersetuju sebulat suara untuk melaksanakan satu projek khidmat masyarakat. Pelan projek awal ini adalah mengfokuskan dalam membantu masyarat kawasan perumahan tertentu dalam menangani masalah denggi, kenapa kami pilih masalah denggi? ini adalah kerana sejak akhir-akhir ini masalah denggi amat kerap sampai ke pengetahuan kita semua. Masalah yang dihadapi ini telah memberi kami inspirasi bagi memberi kesedaran kepada penduduk kawasan perumahan mengenai kepentingan menjaga kebersihan. Sesungguhnya, apabila kebersihan diri dan persekitaran dijaga pastilah kesejahteraan hidup juga terjamin dan lebih berkualiti.
Bagi pelan projek awal ini, kawasan yang telah menjadi pilihan kami adalah Taman Gembira yang terletak di Semenyih, Selangor. Tempat ini telah dicadangkan oleh saudara Faiz kerana beliau tinggal di kawasan tersebut. Mempunyai ahli kumpulan yang mendiami kawasan perumahan ini telah memberi kami gambaran, dimana projek ini akan berjalan lancer dan mudah bagi mendapatkan kerjasama dari pihak-pihak tertentu. Namun, panas tidak berpanjangan, setiap apa yang kita lakukan pasti ada cabaran dan ujian agar kita sebagai hamba-Nya dapat mempelajari sesuatu dari cabaran dan ujian tersebut.
Cabaran dan ujian tersebut adalah, kami tidak berjaya dalam mendapatkan kerjasama dari ketua taman tersebut. Usaha saudara Faiz dalam mendekati dan memujuk ketua taman agar dapat memberi kerjasama kepada projek ini dilihat agak susah untuk dicapai. Setelah berulang kali mengunjungi rumah ketua taman, kerjasama dari ketua taman masih dilihat kabur-kabur. Kami tidak menyalahkan mana-mana pihak, mungkin ini disebabkan kekurangan dari pihak kami juga.

Kami telah berkongsi masalah ini dengan pensyarah subjek iaitu Ustazah Mahfuzah Mohamed Zabidi, kami telah memperoleh respon dan cadangan yang bernas dari beliau dimana kami juga boleh mengfokuskan masalah didalam kampus ini sendiri. Tambahan lagi, kami tidak pernah terfikir ingin membantu masyarakat kampus kami sendiri. Kami mengambil cadangan ustazah sebagai cabaran dan kami juga yakin dengan projek ini, ianya memberi peluang kepada kami dalam memberi sumbangan kepada masyarakat sekeliling kami yang paling hampir.

KUMPULAN KAMI...

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Post kali ini akan kami memperkenalkan ahli kumpulan kami yang telah bersama-sama bertungkus lumus dalam menjayakan projek ini. Kumpulan kami terdiri daripada dua lelaki dan lima perempuan iaitu :

1. FAIZ DARWIS BIN ROSMAN                                     2013937607
2. MOHD AZIM BIN SAHRIN                                         2013551447
3. FADHILAH NASUHAH BT HARUN                           2014250338
4. NURUL SYAFIKHA BT ASLEI                                   2014266238
5. NURUL ASYIQIN BT RASID                                     2014457844
6. NOR SYAHIRAH BT ZAMRI                                     2014685512
7. SITI RASYIDAH AMIRAH BT MOHD ZIYAD            2014236678


Dari kiri : Asyiqin, Fadhilah, Syahirah, Faiz, Azim, Syafikha, Rasyidah

Bismillah...

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.


          Dalam memenuhi silibus yang telah ditetapkan, kami sebagai mahasiswa part 4 telah dikehendaki untuk melaksanakan satu tugasan iaitu ‘Khidmat Untuk Umat Rasulullah S.A.W.. Tugasan ini memerlukan kami untuk menjalankan satu aktiviti atau program dimana ia haruslah berfokuskan kepada penyelesaian isu/masalah yang dihadapi oleh masyarakat setempat.
       

       Melalui beberapa proses perbincangan yang telah dilaksanakan, kami sekumpulan telah mencapai satu kata sepakat dimana projek yang bakal kami laksanakan adalah berdasarkan elemen amalan budi bahasa dalam masyarakat kampus Puncak Alam. Perolehan idea ini adalah berdasarkan pemerhatian kami terhadap sikap dan budaya yang dipraktikkan oleh masyarakat kampus UiTM termasuklah pelajar dan staf.
             

          Secara keseluruhannya, blog ini dicipta untuk mencatat segala hasil daripada projek yang dijalankan oleh kami. Sesungguhnya, segala yang baik itu datangnya daripada Allah SWT dan segala kekurangan datang dari diri kami sendiri.