Tuesday, December 9, 2014

LANGKAH MEMUPUK BUDI BAHASA DALAM KALANGAN MASYARAKAT KAMPUS

          Kebelakangan ini, pelbagai berita dan kes timbul yang kebanyakannya mengenai anak yang derhaka kepada ibu bapa, pelajar yang tidak menghormati guru dan lain-lain kes yang tidak bermoral. Hal ini terjadi kerana hilangnya sikap prihatin terhadap amalan budi bahasa dalam diri sendiri. Sebelum nasi menjadi bubur, amalan budi bahasa haruslah dipupuk dalam kalangan masyarakat supaya masyarakat dapat hidup dengan aman dan harmoni. Pelbagai usaha dapat dilakukan bagi memupuk amalan budi bahasa dalam kalangan masyarakat kampus.

          Langkah perdana yang boleh diambil untuk memupuk budi bahasa adalah melalui bantuan pihak pengurusan kampus. Pihak pengurusan kampus perlu mengadakan kempen-kempen kesedaran kepada masyarakat kampus dan kempen ini haruslah dilakukan secara berterusan dan janganlah sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’kerana akan menyebabkan kerugian kepada negara kita sendiri.Jika inisiatif untuk memupuk budi bahasa dalam diri masyarakat tidak dilakukan oleh pihak pengurusan maka masyarakat kampus pada hari ini akan terus hanyut dalam dunia modenisasi ini dan akan membawa kemusnahan pada masa akan datang. Oleh itu, pihak pengurusan haruslah mengadakan kempen ini secara berterusan supaya masyarakat kampus akan terus dibasahi dengan nilai-nilai murni yang akan mengeratkan hubungan antara masyarakat di negara ini.

          Langkah seterusnya yang dapat kita lakukan untuk mengatasi keruntuhan nilai budi bahasa dalam kalangan masyarakat kampus adalah dengan bantuan para tenaga pengajar. Para tenaga pengajar boleh memupuk para pelajar  dengan sentiasa mengingatkan para pelajar kepentingan berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat kampus. Kebanyakan masa para pelajar diisi dengan menghadiri kelas maka para tenaga memainkan peranan penting dalam memupuk nilai budi  bahasa dalam kalang masyarakat kampus. 

          Seterusnya, usaha yang boleh dilakukan untuk membanteras masalah ini ialah melalui media massa kampus. Pada zaman yang menuju puncak ini,semua informasi-informasi yang berlaku di dunia ini mudah didapati kerana kemudahan seperti internet,televisyen dan banyak lagi memberi kita peluang untuk menerokai hal-hal yang berlaku pada masa sekarang.Oleh hal demikian,sudah tentulah usaha untuk memupuk nilai murni ini boleh dilakukan melalui media massa.Untuk merealisasikan impian ini, pihak media massa kampus haruslah bekerjasama dalam menjayakan program ini dan sentiasa berjuang untuk keharmonian masyarakat kampus. Kempen memupuk nilai budi bahasa haruslah dimainkan di media massa seperti radio kampus, MyUfm. JIka pihak media massa tidak bekerjasama dalam mengatasi masalah ini maka amat sukar untuk mewar-warkan masalah yang sedang dihadapi ini kepada masyarakat kampus.

          Ahli Jawatankuasa kampus juga harus memainkan peranan dalam mengadakan program kemasyarakatan di kampus masing-masing seperti gotong-royong membersihkan kampus, menolong keluarga miskin dan sebagainya. Program seperti ini dapat mengajar masyarakat kampus tentang kepentingan semangat bekerjasama atau nilai moral seperti budi bahasa yang terpuji bagi mewujudkan sebuah masyarakat kampus yang harmoni.Program seperti ini juga memberi peluang kepada pelajar untuk meluangkan masa bersama kerana masyarakat kampus pada zaman ini yang hanya mengejar kepentingan duniawi sahaja dan sikap seperti ‘katak dibawah tempurung’ yang tidak bergaul dengan orang lain. Oleh itu,program seperti ini banyak memberi manfaat kepada masyarakat kampus dan seharusnya dilakukan di semua kampus UiTM.

          Kesimpulannya, kita haruslah bersatu padu dalam memerangi masalah keruntuhan moral dalam kalangan masyarakat kampus dan semua pihak mestilah memainkan peranan yang penting dalam memupuk nilai budi bahasa dalam kalangan masyarakat kampus, bak kata pepatah’Bersatu kita teguh,bercerai kita roboh’.Kita haruslah memupuk nilai budi bahasa di dalam diri kita kerana tidak rugi seseorang itu yang mempunyai nilai budi bahasa kerana ‘hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang juga’.

No comments:

Post a Comment