Wednesday, December 10, 2014

HASIL KAJIAN

     Melalui projek yang dijalankan, kami dapati bahawa masyarakat kampus kurang mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Suasana kurang budi bahasa ini kelihatan di mana-mana sahaja tidak kira samada di sekolah mahupun di universiti. Apa yang paling menyedihkan, walaupun mereka belajar di menara gading, namun sikap yang dipamerkan tidak mencerminkan keperibadian mereka sebagai seorang yang berilmu. Hasil daripada temuramah yang dijalankan, dapat kami ringkaskan bahawa cara dan tahap penghayatan masyarakat kampus Puncak Alam dan warga MSU mengenai amalan budi bahasa adalah sama. 


       Pelajar, misalnya, kurang mengamalkan nilai-nilai murni dalam berinteraksi sesama masyarakat kampus terutamanya terhadap rakan-rakan, pensyarah dan staf. Apabila mereka bersama rakan-rakan, mereka menggunakan bahasa yang kurang sopan ketika berbicara antara satu sama lain. Penggunaan bahasa kurang sopan sudah sangat berleluasa. Bercakap kotor dan mencarut seperti sudah tidak ada malunya lagi. Bahasa bersulam, berlapik dan bersopan sudah dianggap ketinggalan zaman. Berkomunikasi pada era ini sudah tidak perlu berpandangan muka, cukup sekadar bercakap melalui telefon, menulis pesanan ringkas, emel dan media sosial. Bahasa yang digunakan pun sangat ringkas, seringkas kehidupan masa kini yang membolehkan masa dan ruang kata dijimatkan. Selain itu, mereka juga kurang menghormati pensyarah-pensyarah dan staf-staf sokongan. Ucapan salam, terima kasih, selamat pagi, boleh saya bantu encik, makcik dan puan, semakin jarang kita dengar dipraktikkan oleh masyarakat kampus hari ini. 

      Staf pula kurang mesra dalam menjalankan tugas masing-masing. Hal ini menunjukkan bahawa budi bahasa, adat dan budaya semakin dipinggirkan dalam sebuah zaman serba pantas dan berteknologi tinggi. Berbudi bahasa mungkin dianggap kuno kerana komunikasi cara moden lebih bersifat tepat dan ringkas tanpa ada tapisan atau berlapik. Justeru dalam keadaan itu, budi bahasa sudah tidak lagi menjadi keutamaan dalam masyarakat kita.Tanpa sikap budi bahasa yang tinggi dan pegangan nilai yang kukuh, kemajuan yang dicapai tidak memberi apa-apa makna.





No comments:

Post a Comment